MPC komited tingkat kepentingan konsultasi awam

0
42
Bengkel Amalan Baik Peraturan (GRP) Berkaitan Pengukuhan Elemen Konsultasi Awam anjuran MPC di Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Bengkel Amalan Baik Peraturan (GRP) Berkaitan Pengukuhan Elemen Konsultasi Awam anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mampu menambah baik aspek kawal selia perundangan melalui penglibatan pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak.

Sesi perbincangan yang berlangsung di sini baru-baru ini disambut baik agensi-agensi pengawal selia terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penyiaran Malaysia, PlanMalaysia dan CIDB Malaysia.

Program merupakan sebahagian daripada siri konsultasi dan rundingan bersama pihak berkepentingan mengenai keperluan menambah baik eleman konsultasi awam selari dengan prinsip Amalan Baik Peraturan (GRP).

Usaha tersebut memberi penekanan kepada keperluan penambahbaikan kawal selia perundangan khususnya dalam membuat penilaian, sebelum sesuatu peraturan diperkenal atau dipinda.

MPC dalam kenyataan sempena program itu berkata, konsultasi awam merupakan elemen penting dalam GRP iaitu Analisis Impak Peraturan (RIA) yang dilaksana secara terangkum oleh kerajaan melibatkan agensi-agensi pengawal selia.

“Usaha ini penting bagi menentukan setiap peraturan yang baharu dibuat atau dipinda bukan sahaja berlandaskan maklumat yang lengkap dan berasas tetapi juga perlu mengambil kira pandangan dari pihak awam dan juga pihak pemegang taruh.

“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti peraturan sedia ada yang akhirnya memantapkan tahap penyampaian sektor awam dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Mohammad Farid Abdul Hamid

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Keselamatan, Kesihatan, Alam Sekitar dan Kualiti, CIDB Malaysia, Mohammad Farid Abdul Hamid berkata, melalui perbincangan dengan MPC, pihaknya telah mengenal pasti kaedah dan langkah yang sepatutnya dilakukan untuk mendapatkan pandangan dari pihak awam.

Beliau berkata, antara perkara yang diberi keutamaan pada bengkel tersebut adalah usaha untuk memperkenalkan peraturan baharu bagi meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan ekoran kejadian kemalangan yang kerap berlaku.

“Membudayakan konsultasi awam ini amat penting untuk kita memahami apa akan berlaku dan pandangan masyarakat ke atas sesuatu peraturan yang akan dicadangkan,” katanya.

Norhanita Kayat

Dalam pada itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Norhanita Kayat memuji platform portal Konsultasi Awam Berpusat (UPC) yang diwujudkan untuk memudahkan penglibatan pihak-pihak berkepentingan dalam pembangunan dan pindaan sesuatu peraturan.

“Kewujudan portal UPC ini akan menjadikan proses konsultasi awam ini lebih mudah dan berkesan,” katanya yang sedang dalam proses mengkaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) yang kali terakhir dipinda pada 2012.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here