Mufti Pulau Pinang cadang isu perubatan Islam secara online diteliti

0
15
Wan Salim Wan Mohd Noor

SHAH ALAM – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) memperhalusi isu berhubung trend amalan perubatan Islam dalam talian di negara ini.

Justeru beliau berkata, satu mesyuarat perlu diadakan untuk menetapkan hukum berkenaan perkara itu dan diselaraskan di seluruh negara agar tidak disalahgunakan sesetengah pihak.

“Isu ini melibatkan negara keseluruhannya. Ia merupakan isu nasional. Maka Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bermusyawarah untuk membuat keputusan bersama. Kena selaras.

“Tidak mahu ada negeri buat keputusan boleh, ada negeri lain pula nanti mencegah. Ini menyebabkan ada daripada mereka nanti menipu dengan pergi ke negeri-negeri yang boleh untuk meneruskan rawatan.

“Sebab itu perlu kepada penyelarasan tadi. Jadi, secara umumnya, saya menyokong agar kita buat keputusan bersama untuk mencegah penyebaran rawatan-rawatan yang palsu melalui dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian.

Media tempatan sebelum ini melaporkan khidmat perkhidmatan perubatan yang menggunakan media sosial bagi melakukan kaedah rawatan imbas pesakit dari jarak jauh semakin mendapat permintaan daripada orang ramai.

Tinjauan melalui platform media sosial seperti Facebook dan TikTok mendapati kebanyakan perkongsian mengenai langkah perubatan itu meliputi ilmu perlindungan serta kaedah rawatan daripada sihir, saka, santau dan gangguan jin.

Oleh yang demikian, agamawan menzahirkan kebimbangan terhadap trend pengamal perubatan menggunakan nama Islam mempertontonkan proses rawatan secara langsung atau menerusi rakaman video di media sosial yang semakin berleluasa termasuk memaparkan adegan memanggil jin.

Menurut pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, sekiranya trend baharu itu tidak dikawal ia dikhuatiri mencemarkan agama apabila kaedah rawatan itu disalah tafsir oleh masyarakat umum.

Mengulas mengenai hukum tersebut, Wan Salim berkata, ia bergantung kepada rawatan yang diberikan itu mengikut kaedah Islam atau sebaliknya.

“Sama ada ia melalui al-Quran, hadis yang sahih ataupun ambil doa daripada yang diwarisi nabi, itu tiada masalah.

“Tetapi kalau didapati bahawa rawatan ini merupakan rawatan palsu, tiada asal usul agama dan dinamakan sebagai rawatan Islam, maka itu kita tidak boleh terima,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar orang ramai perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada autoriti terlebih dahulu sebelum meneruskan perubatan secara dalam talian tersebut.

“Disebabkan mereka tidak ada maklumat yang tepat, mereka tidak dapat atau sukar untuk membezakan perubatan Islam yang tulen dengan yang palsu.

“Jadi, kita minta kalau mereka dapati kalau ada iklan perubatan dan rawatan Islam, jangan terima bulat-bulat.

“Kena rujuk kepada mereka yang dipercayai terlebih dahulu. Tanya kesahihan kepada orang yang kita boleh percaya dari segi ilmu dan juga akhlaknya,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here