Muhyiddin nafi terima sogokan, dakwa kejadian berlaku ketika Dr Mahathir pangku jawatan Menteri Dalam Negeri

0
50
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan menerima sogokan sebanyak RM1.3 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata, pernyataan yang diberikan oleh seorang pengurus pentadbiran syarikat UKSB yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah palsu.

Katanya, ini kerana antara Jun hingga Ogos 2018 beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

“Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa.

“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara. Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi daripada
syarikat berkenaan, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.

“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini.

“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.

“Saya juga bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here