Muhyiddin nafi tuduhan miliki sokongan dilantik sebagai PM semula

0
26
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan dakwaan pernah memberitahu pemimpin sebuah parti politik kononnya sudah mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa sudah mendapat sokongan majoriti terbabit.

Katanya, apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan dengan beberapa pimpinan parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti pembangkang yang menemui saya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Rata-rata berpendapat cara terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah kerana undi parti lain berpecah selain gabungan itu tidak mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Susulan itu, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu dan inisiatif ini saya ambil selepas mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya yang tidak membabitkan pembentukan satu gabungan baharu parti politik.

Katanya, tujuan persefahaman itu adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN seperti berlaku dalam PRN Melaka dan Johor.

“Persefahaman pilihan raya ini mesti diasaskan kepada satu agenda bersama untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang pada masa ini menguasai BN.

“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.

“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti politik selain BN, saya mengambil maklum mengenai pendirian setiap parti berhubung cadangan ini.

“Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini,” katanya.

Justeru, beliau mengambil sikap yang terbuka kerana ia sebahagian daripada proses perundingan antara parti yang berlangsung secara tidak rasmi.

“Pintu rundingan Bersatu sentiasa terbuka kepada parti selain BN untuk mencapai kata sepakat mengenai formula yang terbaik bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

Presiden Parti Warisan Malaysia (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini mendakwa Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Mohd Shafie berkata, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here