Palajar tingkatan empat maut disyaki dibunuh kekasih

0
32

KLANG – Pihak polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana disyaki membunuh teman wanitanya yang berusia 16 tahun di Kampung Idaman, Pandamaran, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada kira-kira pukul 3.40 pagi yang memaklumkan terdapat seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

“Pada pukul 2 pagi semalam, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai telah menyebabkan kematian mangsa. Suspek kemudian telah mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.

“Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang sedang tidur di dalam rumah tersebut. Ahli keluarga kemudian menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Katanya, suspek dan mangsa, pelajar Tingkatan Empat, sudah berkenalan selama setahun serta hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing, selain mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya.

Cha berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang tiada rekod lampau, ditangkap di lokasi kejadian dan kini direman sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here