Pegawai perubatan Maradona berdepan tuduhan membunuh

0
19
Diego Maradona (kanan) selepas menjalani pembedahan darah beku di bahagian otak.

BUENOS AIRES – Lapan kakitangan perubatan yang menjaga Diego Maradona akan dibicarakan atas tuduhan membunuh bintang bola sepak dunia itu pada November 2020.

Mereka yang menghadapi pertuduhan itu adalah pakar bedah saraf dan doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque; pakar psikiatri dan psikologi, dua doktor, dua jururawat dan majikan mereka.

Kesemua mereka bagaimanapun menafikan bertanggungjawab atas kematian Maradona.

Tuntutan perbicaraan bagi kesalahan itu dibuat hakim kes selepas panel perubatan menilai semula laporan penuh punca kematian pemain Argentina itu yang didapati penuh dengan ‘penyelewengan’.

Maradona dilaporkan meninggal dunia pada November 2020 akibat serangan jantung di kediamannya di Buenos Aires, pada usia 60 tahun. Dia sebelum itu telah pulih daripada pembedahan darah beku pada otak.

Beberapa hari selepas kematiannya, pendakwa raya melancarkan siasatan ke atas doktor dan jururawat yang terlibat dalam penjagaannya.

Panel terdiri daripada 20 pakar yang dilantik memeriksa kematiannya mendapati pasukan perubatan Maradona bertindak daengan cara yang tidak wajar, kurang peka dan melulu.

Panel berkenaan juga membuat kesimpulan bahawa pemain bola sepak itu “mempunyai peluang yang lebih baik untuk bertahan hidup” dengan rawatan yang mencukupi di kemudahan perubatan yang sesuai.

Kelapan-lapan kakitangan perubatan itu akan dibicarakan melalui akta pembunuhan berdasarkan kecuaian yang sengaja dilakukan sehingga boleh membawa kematian kepada seseorang.

Jenayah itu boleh membawa hukuman penjara lapan hingga 25 tahun, menurut kanun keseksaan Argentina. Tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here