Pejabat Peguam Negara tarik diri wakili guru kes ‘jenaka rogol’ 

0
44
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Khairul Nizam Sanuddin, guru yang disaman oleh pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam berhubung isu ‘jenaka rogol’ tidak lagi diwakili Pejabat Peguam Negara selepas permohonan untuk menarik diri daripada kes ini telah difailkan di Mahkamah Sesyen Klang semalam.

Permohonan itu dibuat kerana guru berkenaan, Khairul Nizam Sanuddin sudah diwakili peguam lain dan telah menyebabkan berlaku pertindihan dalam perwakilan terhadap defendan pertama.

Permohonan menarik diri daripada mewakili Khairul Nizam, 44, turut disertakan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Peguam Persekutuan, Muhairi Mohamed Noh.

Pada 26 November 2021, Khairul Nizam memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Rasshidi Ema & Yung dengan menamakan Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam, 43, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Menurut pernyataan tuntutan difailkan, Khairul Nizam yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sebuah sekolah menengah pada 24 April 2021 menyentuh subtopik ‘Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual’.

Subtopik itu terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Khairul Nizam yang mengajar lebih 20 tahun di sekolah berkenaan menyatakan, sepanjang proses pembelajaran itu, semua pelajar wajib membawa dan merujuk kepada buku teks PJK Tingkatan Lima.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here