Pemergian Tun Arshad kehilangan besar kepada negara – PM

0
12
Allahyarham Tun Arshad merupakan arkitek penting dalam menubuhkan UiTM.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian tokoh pendidikan negara, Tun Arshad Ayub sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Perdana Menteri berkata, jasa Allahyarham kepada negara sangat besar khususnya dalam menubuhkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadi tempat melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini.

“Perginya tokoh pejuang pendidikan yang amat besar sumbangannya pada negara.

“Sedih dan sayu mendapat khabar ahli akademik dan pendidik terbilang, Tun Arshad Ayub meninggal dunia pada awal pagi ini.

“Negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Allahyarham juga merupakan seorang pendidik yang berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.

Beliau berkata, legasi Allahyarham di UiTM juga telah melahirkan lebih 700,000 graduan.

“Allahyarham juga menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang yang diceburi.

“Beliau turut terlibat merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara yang menjadi teras pentadbiran Tun Abdul Razak dalam memacu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Keazaman, kebijaksanaan dan kerja keras Allahyarham tanpa mengenal erti penat lelah untuk negara serta seluruh Keluarga Malaysia wajar diteladani.

“Saya dan Keluarga Malaysia mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here