Pemilik tanggung kos bina semula struktur ubah suai pangsapuri

0
31
Struktur tambahan yang dibina tanpa kebenaran di Pangsapuri PKNS AU3, Ampang, Hulu Kelang. Foto MPAJ

SHAH ALAM – Sebanyak 62 notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terhadap pemilik unit atas kesalahan mengubah suai dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran di Pangsapuri PKNS AU3, Ampang, Hulu Kelang.

MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan, notis dikeluarkan Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguat kuasa mengikut Notis 72(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) dikeluarkan.

Katanya, kesalahan ubah suai dan tambahan struktur terbabit didapati melanggar syarat hak milik bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta syarat tanah hak negeri.

“Notis tersebut susulan tindakan penguatkuasaan terhadap isu meroboh binaan struktur tambahan sebuah unit kawasan pangsapuri sama pada 25 Mei lalu.

“Antara kesalahan dikenal pasti adalah penambahan struktur dinding kekal, sengkuap, pagar dan beranda di atas tanah kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua unit berkenaan perlu membuka struktur tambahan yang dibina dalam masa ditetapkan dengan kos ditanggung pemilik sepenuhnya sebelum tindakan lanjut diambil.

“MPAJ ingin menegaskan bahawa tindakan mengubah suai struktur sedia ada atau menambah struktur binaan di bahagian tepi dan belakang kediaman berstrata seperti flat, pangsapuri dan kondominium adalah satu kesalahan dan tidak dibenarkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here