Pencerobohan kapal China: Di mana APMM dan TLDM? soal ADUN GPS

0
59
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh

KUCHING – Kerajaan digesa bertindak tegas dalam isu pencerobohan perairan negara oleh kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Plan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, pihaknya pernah membangkitkan isu ini kepada kerajaan negeri kerana menyifatkan ia merupakan satu masalah yang serius tambahan pula melibatkan isu kedaulatan dan keselamatan negara.

“Ia merupakan satu perkara yang serius, malah saya pernah menerima gambar-gambar yang menunjukkan kapal-kapal perang China ini telah berada di dalam perairan negara, persoalannya mengapa mereka begitu mudah menceroboh kedaulatan negara kita?

“Dimana APMM (Agensi Penguatkuasa Maritim) dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), mengapa biarkan sempadan negara diceroboh. Ini bukan kapal biasa tapi merupakan kapal perang tentera asing?” soalnya yang menang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu di bawah tiket Gabungan Parti Sarawak.

Seterusnya Miro mencadangkan agar kerajaan segera mengemukakan nota bantahan kepada ASEAN dan mengesa satu dialog antarabangsa diadakan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan.

“Saya cadangkan kerajaan melalui Wisma Putra segera menghantar satu nota bantahan kepada ASEAN, memandangkan ia merupakan sebuah pertubuhan yang diiktiraf serta mengemukakan bantahan kepada kedutaan China di negara ini. Ini bukan masanya untuk berdiam diri.

“Selain itu satu dialog khas juga perlu diadakan, kerana ini merupakan satu isu penting bagi memastikan kedaulatan negara dapat dikekalkan. Apa yang penting Asean perlu bertindak denganlebih tegas lagi,” ujarnya lagi.

Pertengahan tahun lalu, Komander Pasifik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) pernah mengutuk tindakan pesawat tentera China yang didakwa dengan sengaja terbang di perairan Malaysia sehingga memaksa TUDM mengerah pesawat pejuangnya untuk membuat pintasan.

Tindakan itu di sifatkan sebagai pencerobohan zon sempadan serta menggugat kestabilan dan meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here