Pengalaman dipenjara satu anugerah – Ahmad Dhani

0
27

KUALA LUMPUR – Pengalaman dipenjarakan selama hampir dua tahun merupakan satu anugerah Allah yang paling besar, kata penyanyi dan komposer popular Indonesia, Ahmad Dhani.

Katanya, hanya individu yang pernah berada di sebalik tirai besi sahaja dapat merasai makna di sebalik ganjaran tersebut.

“Bagi saya ini adalah hadiah terbaik Tuhan, malah hadiah paling besar yang pernah saya terima. Itulah cara saya melihat penjara sebagai ganjaran penuh makna. Sesuatu yang tak membunuhmu, buatmu lagi kuat.

“Jadi tiada penyesalan. Inikan hadiah Tuhan apatah lagi semua orang tahu saya masuk penjara bukan kerana jenayah, tetapi ada hubungan dengan (hal) politik. Pilihan raya pada April 2019, saya masuk (penjara) akhir Januari tahun itu,” kata Ahmad Dhani.

Beliau berkata demikian kepada media pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur mengenai konsert ulang tahun ke-30 Dewa 19 yang dijadualkan di negara ini pada September depan.

“Orang memang boleh cakap macam-macam. Ini bukan hukuman atau cubaan daripada Tuhan. Saya tidak merasakan begitu, Tuhan juga tahu saya orangnya yang bagaimana.

“Cuma mungkin di Indonesia saya sudah selalu cakap, atau belum maklumkan di sini (Malaysia) bahawa masuk penjara itu bergantung kepada cara kita memahami maknanya,” katanya.

Ahmad Dhani atau nama sebenarnya Dhani Ahmad Prasetyo, 50, dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan pada 28 Januari 2019 di Cipinang, Jakarta Timur selepas didapati bersalah menyebarkan mesej berunsur kebencian dalam tiga kenyataan di Twitter.

Berkongsi perancangan ke arah konsert mega di Malaysia bersempena hari bersejarah Dewa 19, katanya penganjuran konsert tersebut adalah simbolik persaudaraan mereka sejak 35 tahun lalu

Akui Ahmad Dhani, selain merangka persembahan jelajah di 30 bandar di Indonesia yang bermula di Surabaya, minggu lalu, Malaysia dan Singapura turut menjadi sebahagian daripada sejarah band tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here