Penggabungan Celcom, Digi diluluskan – MCMC

0
23

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini telah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan Celcom selaku pemohon.

Kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini, Digi.Com Bhd. dan Celcom Axiata Bhd. merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa ini, dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

“Oleh yang demikian, MCMC telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini,” katanya.

Pada 1 April, 2022, MCMC telah mengeluarkan pernyataan isu kepada pemohon, selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei, 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara bagi sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti MCMC.

Justeru, menurut MCMC, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC dalam pernyataan isu.

“MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini,” kata kenyataan itu lagi.

Pada 8 April, 2021, Axiata dan Telenor Group mengumumkan sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.

Axiata Group Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.

Salinan aku janji itu boleh dimuat turun melalui laman sesawang MCMC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here