Peningkatan kos sara hidup, mahasiswa ‘ugut’ adakan protes jalanan

0
26
Aliff membacakan tuntutan kumpulannya kepada kerajaan, hari ini.

GOMBAK – Sejumlah kumpulan wakil mahasiswa hari ini memberi amaran akan melakukan protes di jalanan sekiranya kerajaan masih gagal menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Aliff Naif berkata, mereka menyenaraikan lima tuntutan terhadap kerajaan, termasuk memotong gaji menteri dan timbalannya, serta menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat.

Aliff, yang merupakan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menyenaraikan tuntutan lain termasuk pemberian subsidi yang berterusan, kawalan harga makanan dijual di universiti dan penyelesaian kepada masalah jaminan makanan negara.

“Jika tuntutan-tuntutan ini tidak dipenuhi, kami akan turun ke jalan raya (untuk mengadakan protes),” kata Aliff pada satu sidang akhbar, hari ini.

Aliff mengingatkan para menteri bahawa dengan saiz Jemaah Menteri yang besar, adalah lebih baik tuntutan agar gaji mereka dikurangkan diterima, menunjukkan solidariti dengan rakyat.

Mengenai jaminan makanan, Aliff turut menggesa kerajaan menyediakan penyelesaian jangka pendek dan panjang, sambil menambah, ramai pelajar menyuarakan kekecewaan di media sosial dengan ada yang mengadu tidak dapat membeli makanan di kampus.

“Kenaikan harga makanan dan barangan lain membebankan pelajar. Kami tidak mempunyai gaji untuk menampung kenaikan harga.

“Saya tidak menolak kemungkinan ramai rakan kami terpaksa berlapar kerana tidak mampu membeli makanan,” katanya.

Antara kumpulan yang menyokong kenyataan itu ialah Demokrat UKM, Demokrat UM, Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya, Republikan UKM, Suara Mahasiswa UMS, Muda Biro Mahasiswa, Mahasiswa Roket, dan Mahasiswa Amanah Nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here