Pensyarah kanan universiti didakwa seleweng dana penyelidikan

0
18
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah kanan universiti tempatan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas lima pertuduhan menyalahgunakan dana penyelidikan bernilai RM32,000 dan satu pertuduhan menggunakan invois palsu bernilai RM10,100, lima tahun lepas.

Memetik laporan Bernama, Mohamad Zulkefli Adam, 56, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussain dan Azura Alwi.

Mohamad Zulkefli didakwa atas lima pertuduhan iaitu sebagai Ketua Projek Research-Based Foundation For Sustainable Agriculture Entrepreneurship (Smart Rural) telah menyalahgunakan wang berjumlah RM32,000 milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Maybank Berhad cawangan Jalan Raja Muda di sini antara 3 September dan 26 Oktober 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Sesyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana membenarkan Mohamad Zulkefli diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan itu dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah serta menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Hakim Azura, Mohamad Zulkefli dituduh atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu bernilai RM10,100 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur pada 11 Ogos 2017.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sama (11 Ogos) untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Mohd Zain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here