
CYBERJAYA – Pakatan Harapan menggesa kerajaan supaya mengumumkan pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup rakyat dalam masa 24 jam.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini berkata, menteri yang bertanggungjawab dalam isu itu perlu meletakkan jawatan sekiranya gagal mengemukakan pelan tersebut.

“PH juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; dan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Dalam pada itu, PH menyatakan kebimbangan mereka mengenai isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi semalam.
Kata Nanta, tiada lagi subsidi bagi minyak masak tulen berbotol serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.
PH berkata, dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat.
“Pada ketika ini, kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini.
“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda. Ini bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab,” kata kenyataan itu lagi.