Pindaan Akta Persaingan beri lebih kuasa pada MyCC

0
9
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 perlu dilaksanakan bagi memastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akta itu yang kini dalam proses pindaan terutama berhubung pengenalan peruntukan rejim kawalan penggabungan, akan memberikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran dan boleh menjurus kepada monopoli dalam pasaran.

“Kita semua tahu karenah monopoli yang sentiasa menimbulkan keresahan dalam kalangan Keluarga Malaysia, lebih-lebih lagi apabila monopoli ini cuba terus-menerus mengganggu persaingan serta menghalang kemasukan pesaing kecil dalam pasaran.

“Pindaan terhadap Akta Persaingan dan Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia ini akan memberi kuasa kepada MyCC untuk menangani isu persaingan yang lazim dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah dengan berkesan dan cekap,” katanya pada ucapan Persidangan
Undang-undang Persaingan 2022 MyCC ketiga di Putrajaya, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa undang-undang persaingan adalah elemen teras dalam dasar ekonomi di sesebuah negara dan berkata ia dapat menghasilkan bukan sahaja harga yang kompetitif dan kualiti barangan yang lebih baik bahkan sebarang sabotaj ekonomi terhadap rakyat boleh dikenakan tindakan tegas.

Beliau yang turut menyentuh mengenai isu kartel yang terbentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing-pesaing dalam pasaran yang sama berkata, ia merupakan perlakuan paling serius di bawah Akta Persaingan 2010.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here