PLANMalaysia di peringkat akhir muktamadkan garis panduan kenderaan mikromobiliti

0
14
GAMBAR HIASAN

KATOWICE, Poland – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) kini sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan garis panduan penggunaan kenderaan mikromobiliti di Malaysia.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Alias Rameli berkata, antara perkara yang sedang diperhalusi termasuk had kelajuan yang ditetapkan iaitu tidak melebihi 25 kilometer sejam (km/j).

Selain itu, kata Alias kepada Bernama, pihaknya juga sedang mengkaji mengenai penandaan jalan serta pewujudan laluan khusus buat kenderaan mikromobiliti.

“Had kelajuan kenderaan mikromobiliti contohnya mungkin tidak melebihi 25 km/j, ini kerana kenderaan itu boleh mencapai kelajuan 50 km/j,” katanya.

Apabila siap kelak, katanya, garis panduan itu akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk diluluskan seterusnya diumumkan.

“Garis panduan itu sedang disiapkan dan kini berada di peringkat akhir. Kita sedang sesuaikan penggunaan mikromobiliti dengan perundangan yang ada di peringkat KPKT dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya lagi.

Tambah Alias, penggunaan kenderaan mikromobiliti secara umumnya memberi manfaat baik kepada negara kerana ia mampu mengurangkan penggunaan karbon di bandar.

“Trend penggunaan mikromobiliti sebenarnya perlu kita disesuaikan untuk keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Pada 13 Jun lepas, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan PLANMalaysia akan memperincikan garis panduan berhubung larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu tidak lama lagi.

Wee berkata, kerajaan tidak pernah melarang atau mengharamkan penggunaan kenderaan mikromobiliti di Malaysia jika ia digunakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

Sebelum ini, Wee mengumumkan kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here