Polis tahan empat lagi suspek bantu siasatan kes bunuh dan bakar wanita

0
65

KUALA KANGSAR – Pihak polis telah menahan empat lagi suspek bagi membantu siasatan pembunuhan seorang wanita yang ditemukan rentung di tepi Sungai Kuala Kangsar di Kampung Talang Hulu pada 31 Mei lepas.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, penahanan itu menjadikan lima suspek telah ditahan berkaitan kes berkenaan.

Terdahulu, teman lelaki mangsa yang berusia 21 tahun ditahan pada Sabtu lalu.

“Setakat ini, kita telah menahan lima individu (bagi membantu siasatan),” kata Mior Faridalathrash kepada portal FMT, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai penahanan kelima-lima individu itu.

Sebelum ini, gambar dan video TikTok mangsa berkenaan telah tersebar di media sosial, dan terdapat desas desus bahawa pembunuhan tersebut bermotifkan cemburu.

Mior Faridalathrash bagaimanapun enggan mengulas dakwaan bahawa mangsa tersebut dirogol beramai-ramai sebelum dibunuh, sambil berkata “kami tidak menerima maklumat itu”.

Laporan media sebelum ini menyebut punca kematian mangsa adalah akibat pukulan di kepala dan kemudiannya dibakar.

Turut ditemukan berdekatan mangsa, serpihan konkrit dengan kesan darah, dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here