PPIM lancar aplikasi Yakin bela hak kepenggunaan

0
30
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi Yakin yang merupakan Aplikasi Rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan aplikasi Yakin yang membolehkan orang ramai membuat aduan berhubung pelbagau isu kepenggunaan dan juga sebagai platform gaya hidup muslim.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, aplikasi yang dibangunkan melalui kerjasama pihaknya dengan Crescent Digital Sdn Bhd itu adalah sebagai usaha untuk membela nasib pengguna di negara ini yang tertindas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, antara isu kepenggunaan yang semakin tidak terkawal adalah kes penipuaan secara dalam talian (scam) dan mangsa penindasan syarikat pinjaman wang tidak berdaftar atau Ah Long.

“Dengan adanya aplikasi rasmi PPIM ini, ia bukan sahaja menjadi tempat membuat aduan, tetapi akan ditambah baik dari semasa ke semasa dengan sumber-sumber maklumat yang penting untuk orang Islam.

“Sesuai dengan peredaran teknologi yang semakin pesat, kita perlukan satu inovasi dalam pembelaan hak-hak pengguna supaya kita tidak terus menjadi mangsa sindiket, peniaga, syarikat pemaju bank dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Aplikasi Yakin yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi (MESTECC), Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa.

Nadzim yang lebih dikenali dengan gelaran Tokki berkata, pelancaran aplikasi Pintar juga diharap dapat memudahkan orang ramai untuk tampil melaporkan kes penipuan atau penindasan sekaligus membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

“Sejak 25 tahun penubuhan PPIM, kita telah menerima bermacam-macam aduan kes penipuan.

“Untuk kes Ah Long sahaja, tidak kurang daripada 50,000 kes dilaporkan dan dengan campur tangan PPIM, ada Ah Long yang akhirnya mengalah malah ada yang memulangkan semula wang kepada mangsa,” katanya.

Nadzim berkata, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu turut dilengkapi dengan maklumat waktu solat, arah kiblat, doa harian dan pelbagai lagi.

“Kita harap Pintar akan menjadi aplikasi ‘wajib’ bagi umat Islam di negara ini. Buat masa ini ia masih di peringkat permulaan dan akan dikembangkan lagi melalui lebih banyak kerjasama dengan pemegang-pemegang taruh.

“PPIM juga mengalu-galukan penglibatan pihak awam dan swasta dalam mengembangkan lagi potensi aplikasi ini agar ia dapat memberi impak yang betul-betul berkesan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here