Presma nafi kewujudan kartel restoren mamak, ambil tindakan undang-undang

0
13
Jawahar Ali Taib Khan

CYBERJAYA – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menafikan laporan yang mendakwa wujudnya perniagaan ‘kartel restoran mamak’ dan menuntut sebuah syarikat akhbar supaya membuat permohonan maaf dan menarik balik artikel tersebut.

Berikutan itu, Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya sudahpun menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat berkenaan pada 27 Mei lalu.

Beliau memberi tempoh hingga 6 Jun ini untuk syarikat berkenaan memenuhi tuntutan itu, jika tidak Presma akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.

“Mengambil kira pandangan banyak pihak serta nasihat peguam, Presma akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar terbabit.

“Berpuluh-puluh laporan polis sudah dibuat di seluruh negara meminta siasatan segera diambil ke atas penerbitan berkenaan kerana memberikan maklumat salah serta menjejaskan imej pihak lain khususnya industri restoran mamak,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Artikel disiarkan pada 24 Mei lalu itu antara lain menyentuh keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) serta corak perniagaan berbentuk kartel yang didakwa diamalkan oleh segelintir pemilik restoran mamak di negara ini.

Dalam pada itu, Jawahar turut menafikan dakwaan artikel berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Katanya, kedai mamak juga berusaha keras untuk menjalankan perniagaan mereka masa ini.

“Sama ada baharu berniaga atau menambah rangkaian perniagaan dengan inisiatif dan kesungguhan sendiri, bukannya ditentukan kartel seperti digambarkan,” katanya.

Beliau berkata, artikel itu memberi kesan negatif dan implikasi buruk masyarakat terhadap kedai mamak.

“Presma mengingatkan kepada rakan media supaya mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan lebih berhati-hati dengan sebarang penulisan serta komentar supaya tidak tersalah fakta sehingga boleh membawa kepada implikasi perundangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here