Program Pengalaman Industri manfaatkan Karnival Cuti Sekolah di Malakat Mall

0
12
TUAN AMIR DANISH

CYBERJAYA – “Pada mulanya, saya agak gementar kerana tak tahu apa yang perlu dibuat, tetapi dengan bimbingan penyelia, saya dapat biasakan diri dan laksanakan rutin yang perlu dilaksanakan.”

Demikian komen seorang pelajar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch, Tuan Amir Danish Tuan Mohd. Fahmi ketika ditanya mengenai perasaannya sewaktu mengikuti Program Pengalaman Industri (IEP) di Malakat Mall, hari ini.

Sebahagian dari pelajar yang mengikuti IPE sedang diberi taklimat oleh kakitangan Malakat Grocer.

Amir, 14, merupakan salah seorang daripada 10 orang pelajar yang mengikuti program yang diadakan semepena Karnival Cuti Sekolah di pasar raya tersebut.

Kata Amir, program sebegini memang amat sesuai buat para pelajar merasai sendiri pengalaman bekerja.

“Saya memang mahu mengikuti program sebegini, kerana pengalaman dan pengetahuan yang akan saya peroleh akan dapat memanfaatkan saya pada masa akan datang,” katanya lagi.

Salah seorang peserta IEP sedang melaksanakan tugasannya di Tea Amo Cafe.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Muhammad Affandi Hamzah berkata, IEP merupakan satu program pendidikan di mana peserta akan dapat merasai pengalaman bekerja.

“Di Malakat Mall, kita mempunyai pelbagai jenis perniagaan, yang merangkumi Malakat Grocer, kedai makan dan juga kedai barangan.

“Jadi, kita gunakan kepelbagaian ini sebagai satu peluang untuk pelajar yang sedang dalam cuti sekolah, merasai sendiri bagaimana bekerja dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan,” kata Affandi, hari ini.

IP memberi pendedahan kepada pelajar mengenai alam pekerjaan sambil dibimbing petugas berpengalaman.

Affandi menjelaskan, IEP merupakan salah satu pengisian karnival yang dianjurkan khusus sempena musim cuti sekolah ini.

“Kita ada pelbagai lagi aktiviti menarik hingga hari Ahad nanti. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua supaya kunjungi Malakat Mall bersama anak-anak suapaya mereka dapat rasai sendiri aktiviti yang kita anjurkan,” kata Affandi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here