PT3 dimansuhkan sepenuhnya, Pentaksiran Berasaskan Sekolah diperkasakan

0
32
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Mat Jidin

CYBERJAYA – Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Mat Jidin, hari ini.

Berikutan itu, bagi mengisi kekosongan sistem pentaksiran ke atas pelajar, Kementerian Pendidikan akan memperkasa komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

“Prestasi murid selepas ini akan dinilai akan ditaksir oleh guru pada setiap masa menerusi PBS.

“Langkah itu bagi memastikan murid-murid dapat menguasai sepenuhnya sesuatu topik yang diajarkan kepada mereka,” kata Radzi dalam satu sidang akhbar, hari ini.

PBS mempunyai tiga komponen penting iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometri (PPsi).

“PBD pula, mempunyai dua komponen iaitu secara formatif yang mana pemantauan terhadap murid dilaksanakan secara berterusan, di sepanjang sesi persekolahan melalui pelbagai pendekatan.

“Komponen kedua, sumatif dilaksanakan pada akhir sesuatu topik atau tempoh pembelajaran dan merujuk kepada ujian pertengahan penggal dan ujian akhir tahun,” jelas Radzi.

Katanya, pihak kementerian akan memperkasakan komponen sumatif menerusi penyediaan bank soalan yang boleh diakses oleh para guru pada waktu yang ditetapkan.

“Oleh yang demikian, bank soalan tersebut dapat membantu para guru melaksanakan peperiksaan dengan menggunakan kumpulan soalan yang standard dan setara,” kata Radzi lagi.

Bagi kemasukan ke sekolah khusus, Radzi menjelaskan, murid perlu menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here