Pulau Batu Puteh: Puad tawar diri saman Dr Mahathir

0
27
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

CYBERJAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menawarkan diri untuk mengambil tindakan undang-undang  terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kehilangan Pulau Batu Puteh.

Mohd Puad berkata, tindakan itu diambil sebagai pengajaran kerana menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh selama lamanya.

“Walaupun tidak sebut nama, semua tahu Tun Mahathir adalah individu yang bertanggungjawab.


“Kita tidak lagi boleh berbuat apa apa. Tempoh merayu sudah tamat. Sebagai pengajaran kekal, Tun M mesti disaman dan bayar ganti rugi. RM3 bilion paling sesuai.

“Justeru, saya tawar diri untuk saman Tun M. Ini soal maruah kerana dia jual kedaulatan Johor dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sepatutnya mahkamah antarabangsa (ICJ) menetapkan 11 Jun 2018 tarikh pendengaran rayuan berkenaan Pulau Batu Puteh.

Namun, katanya, pada 28 Mei 2018 Peguamcara Negara telah menghantar surat kepada ICJ untuk menarik balik permohonan semakan kehakiman itu.

“Ramai tidak tahu pada 2 Febuari 2017 bekas Peguam Negara Apandi Ali hantar surat ke ICJ The Hague mohon semakan kehakiman Pulau Batu Puteh. ICJ tetapkan 11 Jun 2018 tarikh pendengaran.

“Tetapi pada 14 Mei 2018 (empat hari selepas PH memerintah) Apandi Ali dipaksa bercuti dan tempat beliau dipangku oleh Peguamcara Negara.

“Pada 28 Mei 2018 (18 hari Tun M jadi PM) Peguamcara Negara hantar surat kepada ICJ tarik balik permohonan semakan kehakiman. Ia tarikh hitam negara.

“Ia dirahsiakan. Rakyat hanya tahu bila tempoh merayu tamat. Rupanya Tun M telah batalkan permohonan semakan kehakiman. Apakah Kabinet tahu. Apa muslihat Tun M?” soalnya.

Sementara itu, Mohd Puad turut menyelar sikap angkuh Dr Mahathir yang enggan menghadiri siasatan Pasukan Petugas Khas Pulau Batu Puteh yang sedang diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here