Rafidah Aziz letak jawatan dalam Airasia X

0
25

CYBERJAYA – Airasia X Bhd. mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif berkuat kuasa 1 Julai depan.

Menerusi makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia semalam, Rafidah yang sudahpun berkhidmat selama lebih 10 tahun, turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Risiko, selain pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

“…(Tan Sri) tidak lama lagi akan menamatkan tempoh yang dibenarkan sebagai pengarah bebas.

“(Tan Sri) kemudiannya perlu mematuhi perubahan status, daripada ahli lembaga bebas, kepada pengarah bukan bebas, dan keperluan lain yang seterusnya,” kata kenyataan itu lagi.

Rafidah, 78, dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah dan pengarah eksekutif bukan bebas pada 3 Mac 2011 sebelum dilantik semula sebagai pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif kumpulan pada 10 Julai 2013.

Beliau juga adalah pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan selain Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Semakan Semula Keselamatan kumpulan.

Rafidah sebelum ini adalah senator dari 1974 hingga 1978 dan ahli Parlimen dari 1978 hingga 2013. Beliau paling lama berkhidmat sebagai menteri antarabangsa dan industri, iaitu selama 21 tahun, dari 1987 hingga 2008.

Susulan peletakan jawatan itu, AirAsia X melantik Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin sebagai pengarah bebas bukan eksekutif yang berkuat kuasa semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here