Remaja perempuan ditahan lapor kehilangan kad pengenalan

0
46
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang gadis membuat laporan palsu mengenai kehilangan kad pengenalan akhirnya mengundang padah apabila ditahan polis di Iskandar Puteri dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek yang berusia 17 tahun itu dipanggil memberi kenyataan di Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut.

Rahmat berkata, siasatan mendapati suspek telah memberikan keterangan mencurigakan mengenai kejadian kehilangan kad pengenalannya.

“Suspek kemudian mengaku memberi keterangan palsu dengan tujuan untuk membuat semula kad pengenalan baharu dan bagi mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kad pengenalan suspek hilang dipercayai akibat tercicir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat laporan palsu untuk kepentingan diri sendiri.

“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi mendakwa pelaku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here