Risda lancar logo Jubli Emas sempena sambutan ulang tahun ke-50

0
64
Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) hari ini melancarkan logo Jubli Emas sempena ulang tahun penubuhannya ke-50 yang bakal disambut pada 8 Februari 2023.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, pelancaran logo itu bakal menjadi lambang pemasaran bahan-bahan promosi program peningkatan imej Risda dalam kalendar sepanjang tahun hadapan.

“Pelancaran logo ini turut bertujuan menyampaikan kesedaran kepada khalayak mengenai kejayaan perkhidmatan dan produk Risda yang telah banyak membantu pekebun kecil meningkatkan taraf sosio ekonomi.

“Kisah-kisah kejayaan ini akan diabadikan dalam bentuk Jelajah 50 Tahun Risda, penerbitan dokumentari, majalah, iklan dan pelbagai produk bercetak atau elektronik lain,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Logo Jubli Emas Risda

Dalam pada itu, katanya, Risda juga akan mengetengahkan beberapa majlis pengiktirafan masyarakat pekebun kecil yang telah banyak berjasa kepada industri getah negara dalam siri sambutan 50 tahun akan datang.

Beliau berkata, ia sebagai menghargai peranan pekebun kecil yang menjadi tulang belakang industri getah negara.

“Umum mengetahui masyarakat pekebun kecil adalah tulang belakang kepada industri getah negara dimana komuniti ini sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan untuk dimajukan dari semua aspek sama ada menerusi bantuan pembangunan ladang, insentif, dana pakej rangsangan ekonomi, seterusnya pembangunan modal insan.

“Oleh itu, cabaran untuk mengoptimumkan sumber getah negara, melalui peningkatan produktiviti, penggunaan kadar guna tanah, pengukuhan daya saing produk berasaskan getah, program pewujudan pakar dalam industri getah dan kolaborasi berasaskan teknologi bersama-sama agensi kerajaan berkaitan adalah antara aspek yang akan diketengahkan Risda untuk menghadapi fasa seterusnya,” ujarnya.

Majlis Pelancaran Logo Jubli Emas Risda oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Sementara itu, katanya, pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Risda akan menyampaikan pelbagai bentuk bantuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 508 juta.

Katanuaya, pada masa ini, terdapat seramai 552,543 orang pekebun kecil dengan keluasan tanaman getah lebih satu juta hektar yang bernaung di bawah Risda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here