RM1.5 juta tingkatkan pembangunan warga pendidik MARA

0
3
Mahdzir Khalid

CYBERJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM1.5 juta bagi meningkatkan latihan dan pembangunan kompetensi warga pendidik MARA untuk memastikan kualiti pendidikan di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) setanding dengan negara maju.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, MARA juga menawarkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kepada 4,336 warga pendidiknya sejak tahun 2002 hingga 2020 di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Sarjana, Sijil Profesional, Sijil Kemahiran dan Diploma Pendidikan.

“Inisiatif ini adalah amat penting bagi memperkasakan ilmu dan kemahiran warga pendidik MARA lebih profesional dan setaraf dengan pendidik dari luar negara khususnya yang terdapat dalam Senarai Ivy League seperti di Oxford dan Harvard University,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mahdzir, selain pendidik, MARA juga sentiasa komited dan peka bagi memastikan pelajar IPMA belajar dalam suasana kondusif melalui penjagaan kebajikan serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur di pusat pendidikan MARA.

“Fasiliti pusat pendidikan yang lengkap amat penting bagi menjamin keselesaan kepada 110,210 orang pelajar IPMA di seluruh negara untuk menjadikan pembelajaran mereka lebih efisien dan sistematik.

“Kita juga memberi penekanan tinggi terhadap mobiliti pelajar-pelajar MARA ke peringkat antarabangsa agar tidak terhenti atau ditangguhkan menerusi program tajaan pelajaran ke luar negara dalam pelbagai bidang yang melibatkan 1,500 orang setakat ini,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here