Rumah bentuk kuil: MBS keluar notis sita tapak binaan

0
171
Sebuah rumah yang diubah suai secara haram di Mantin, Negeri Sembilan

SEREMBAN – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap pemilik rumah yang didapati mengubahsuai kediaman tanpa kelulusan di Taman Surian, Mantin di sini.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, pihaknya menerusi Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan telah mengeluarkan notis arahan dan sitaan di tapak binaan sebanyak tiga kali kepada pemilik bangunan bagi memberhentikan kerja-kerja binaan dan merobohkan binaan tambahan tersebut.

“Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya ke atas kes ini kerana keingkaran pemilik mematuhi notis yang telah dikeluarkan.

“Majlis memandang serius atas kerja-kerja pengubahsuaian tanpa kelulusan ini. Sebarang kerja-kerja pengubahsuaian bangunan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada majlis terlebih dahulu.

“Lebih-lebih lagi dalam menjaga aspek keselamatan dan mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masri berkata, segala tindakan yang diambil adalah bertujuan bagi menyejahterakan keharmonian warga bandar raya.

Semalam tular di media sosial, dakwaan seorang penduduk berhubung pembinaan rumah tanpa kelulusan berbentuk kuil di sebelah rumahnya di Taman Surian, Mantin di sini yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa penghuni lain di taman perumahan berkenaan.

Penduduk tersebut yang berjiran dengan kediaman itu turut mendakwa beberapa bahagian rumahnya mengalami kerosakan akibat pengubahsuaian haram yang dibuat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here