Sanggup tinggal mayat anak untuk larikan dadah

0
45

SEREMBAN – Sepasang suami isteri yang disyaki membawa dadah sanggup meninggalkan mayat anak yang terkorban selepas terlibat dalam kemalangan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Dalam kejadian di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, dekat sini pada Ahad lalu, pasangan dalam lingkungan usia 20 dan 30 tahun itu bertindak melarikan diri dengan kenderaan orang awam yang berhenti untuk memberi bantuan.

Ketua Polis Tampin, Anuwal Ab Wahab berkata, mayat seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditinggalkan di lokasi kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11.30 malam itu.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu suspek terbabas ketika memotong sebuah lori.

“Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum bergesel dengan sebuah lori. Akibat kemalangan itu, kedua-dua penumpang tercampak keluar termasuk seorang kanak-kanak.

“Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu maut selepas tercampak dan dilanggar oleh kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Anuwal berkata, polis kemudian berjaya menahan pasangan terbabit di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah.

Beliau berkata, polis membuka tiga kertas siasatan iaitu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here