Satelit kelapan negara dilancar ke orbit

0
10
Satelit kelapan negara, MEASAT-3d dilancarkan ke orbit dari dari Pusat Angkasa Lepas Eropah, Kourou, French Guiana pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Satelit kelapan negara, MEASAT-3d dilancarkan ke orbit dari dari Pusat Angkasa Lepas Eropah, Kourou, French Guiana pada pukul 6.50 petang waktu tempatan (jam 5.50 pagi waktu Malaysia).

Siaran langsung pelancaran itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Beliau menyaksikan pelancaran itu bersama kira-kira 600 tetamu yang terdiri daripada jemaah menteri, pegawai kanan kerajaan, penjawat awam, petugas media dan pelajar.

Yang hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut hadir Pengerusi Astro Malaysia Holdings Bhd Tunku Ali Redhaudin Tuanku Mukhriz dan Pengarah Measat Global Shaharul Rezza Hassan.

Satelit MEASAT-3d seberat 5,600 kilogram dibawa ke orbit menggunakan roket Ariane-5 ECA dan berjaya melalui proses pemisahan pada jam 6.19 pagi.

Satelit yang melibatkan anggaran kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat negara ini selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Satelit yang berukuran 31 meter (m) x 9m x 5m seberat 5,600 kilogram itu dilancarkan bertujuan meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau serta beberapa perkhidmatan baharu dan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos ini.

Satelit itu antara lain adalah jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO yang dibina oleh Airbus Defence and Space mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutama di kawasan pedalaman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here