“Saya hanyalah (seorang) jurulatih kecil” – Kim Pan Gon

0
73
KIM PAN GON. – GAMBAR IHSAN FAM

BUKIT JALIL – Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon menyifatkan kejayaan bersejarah skuad Harimau Malaya bukan disebabkan oleh dirinya semata-mata tetapi juga sokongan oleh semua pihak yang diberikan kepada beliau untuk membangunkan bola sepak negara.

Pan Gon berkata, dirinya hanyalah seorang jurulatih ‘kecil’ biarpun berjaya membawa Malaysia menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke saingan Piala Asia 2023, malam tadi.

“Saya hanyalah jurulatih kecil, saya datang ke sini meminta semua pihak membantu dan juga mendapat sokongan khas daripada pasukan-pasukan Liga Super. Dengan FAM saya banyak permintaan, saya tahu ia agak sukar buat mereka tapi beliau (presiden) cuba sedaya upaya untuk memenuhinya.

“Seperti kem latihan, kami banyak menambah baik dari segi infrastruktur, kami dapat yang terbaik. Saya tidak melakukan apa-apa, semua yang terlibat melakukan tugasan mereka dengan baik,” kata jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan itu, malam tadi.

Kemenangan Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 malam tadi meletakkan skuad Harimau Malaya di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Sementara itu, Pan Gon berkata beliau menjadikan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-juara AFC buat pertama kali pada April lepas, sebagai inspirasi kepada beliau untuk menyempurnakan tugas membimbing Malaysia ke Piala Asia.

Bekas ketua jurulatih pasukan Hong Kong dan pengarah pasukan kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu berkata selain JDT, kelab-kelab tempatan juga memainkan peranan besar dengan melahirkan barisan pemain berkualiti.

“Saya dapat lihat ramai pemain berpotensi yang bagus, ini yang dilakukan oleh bola sepak Malaysia, bukan saya,” katanya.

Beliau turut mengakui jika Malaysia tidak mempunyai asas bola sepak yang kukuh, sudah pasti sukar untuknya melaksanakan dua misi ditetapkan untuknya, iaitu layak ke Piala Asia dan memenangi Piala AFF akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here