Scam: kenapa hanya ‘keldai akaun’ sahaja yang ditahan? – Fahmi Fadzil

0
34
Fahmi Fadzil

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara diminta lebih serius dalam siasatan kes-kes penipuan dalam talian atau scam yang seperti tidak berkesudahan di negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, siasatan secara lebih mendalam perlu dilakukan bagi menuntut keadilan terhadap 98,607 mangsa sindiket.

Beliau berkata, berdasarkan laporan kes yang direkodkan antara 2017 sehingga tahun lalu, kerugian akibat penipuan dalam talian di negara ini sudah mencecah angka RM3.3 bilion.

Bagaimanapun katanya, situasi itu mencetuskan persoalan tentang kenapa ketua-ketua sindiket tidak pernah ditangkap atau dibicarakan kecuali individu yang menjadi pemegang akaun atau ‘keldai’.

“Malangnya sehingga hari ini, hanya pemegang akaun atau keldai yang digunakan oleh penipu itu dibicarakan dan bukannya ketua operasi penipuan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengarahkan bank menjalankan audit forensik untuk menentukan ke mana wang yang terlibat dalam penipuan itu pergi dan siapa penerima terakhir.

Situasi itu katanya jauh berbeza dengan apa yang berlaku di dalam kes 1MDB yang mana transaksi kewangan atau ‘money trail’ berbilion ringgit merentasi pelbagai negara dan sistem kewangan dapat dikesan.

“Apakah bank terutama Bank Negara dan Bukit Aman tidak dapat mengenal pasti siapa penerima akhir duit yang dicuri ‘scammer’ ini?

“Dan ke mana perginya RM3.3 bilion ini? Diguna untuk aktiviti rasuah atau jenayah yang lain?,” soalnya.

Pada Mac lalu, dilaporkan terdapat 98,607 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM3.3 bilion di seluruh negara dari 2017 hingga 2021.

Dalam tempoh itu, seramai 30,000 suspek ditahan dan 25,000 daripadanya didakwa di mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here