
SEREMBAN – Polis telah melengkapkan siasatan secara menyeluruh, berhubung kes kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan, ketika di bawah jagaan sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di sini, Februari lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata, siasatan merangkumi keterangan saksi mahupun teknikal, dengan penggunaan kaedah forensik serta khidmat pakar patalogi dan kimia.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan sehingga ke pihak Peguam Negara. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Arahan telah diberi oleh pihak Peguam Negara supaya inkues diadakan untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ruslan berkata kes untuk pendengaran inkues telah ditetapkan pada 29 Jun ini.
Terdahulu, kes kematian bayi itu mendapat perhatian isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam yang menggesa kerajaan untuk menyiasat semula kes kematian ‘Baby Syifaa’.
Dalam hantaran yang dibuat menerusi laman Instagram, Che’ Puan Besar Khaleeda berkongsi hantaran bapa kepada bayi berkenaan, Yuseri Yusoff yang memuat naik gambar kecederaan bayi terbabit serta laporan bedah siasat yang meragukan dengan peringatan mengenai tarikh sebutan semula kes inkues di Mahkamah Koroner Seremban, 29 Jun ini.
Che’ Puan Besar Khaleeda yang meletakkan tanda pagar #justiceforbabysyifaa turut menandakan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.