Siasatan punca kematian dua remaja ambil masa dua bulan – Ketua Polis Cheras

0
40

KUALA LUMPUR – Siasatan punca kematian dua remaja berusia 19 tahun yang ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan kerana melibatkan pakar dari agensi lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar, pasukan perubatan sudah melakukan proses bedah siasat terhadap mayat dua remaja berkenaan tetapi masih belum mengetahui punca sebenar kematian mereka.

“Kami sedia maklum, dua mayat itu ditemukan selepas lima hari.

“Banyak organ sudah dalam keadaan tidak sempurna yang memerlukan kepakaran daripada jabatan lain seperti Jabatan Kimia,” katanya dalam satu sidang akhbar di IPD Cheras, di sini hari ini.

Muhammad Idzam berkata, selagi laporan pakar daripada jabatan berkenaan tidak dikeluarkan, polis tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung punca kematian dua remaja terbabit.

“Selain itu, polis turut merakam keterangan daripada kawan, keluarga dan mereka yang mengenali si mati.

Lebih 10 orang telah dipanggil untuk membantu siasatan dan sehingga kini tiada unsur jenayah ditemukan,” katanya lagi.

Sebelum ini, polis telah mengenal pasti identiti dua remaja terbabit sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul.

Kedua-dua mereka sebelum itu dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing sebelum ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, 29 Mei lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here