Sivasangari stabil, perlu tiga bulan untuk pulih sebelum kembali ke gelanggang

0
15
AHMAD FAIZAL

PUTRAJAYA – Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari yang sebelum ini terlibat dalam satu kemalangan pada awal pagi semalam, kini berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan rapi di Hospital Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melawat Sivasangari pada petang tadi memaklumkan, atlet berusia 23 tahun itu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.

Berikutan itu, kata Ahmad Faizal, atlet kelahiran Kedah itu, yang juga merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham, tidak dapat menyertai temasya berkenaan yang dijadual bermula 28 Jul hingga 8 Ogos.

“Status Siva (Sivasangari), dia sedar dan Alhamdulillah saya sempat berikan kata-kata perangsang dan sokongan kepada beliau… ibu bapanya juga berfikiran positif dan riak wajah Siva juga positif. Gembira beliau ada semangat yang begitu kental.

“Apabila saya mengetahui tentang ini, saya sangat bimbang, tapi apabila saya berbincang dengan pakar perubatan dan doktor yang begitu cekap merawat, mereka berkata keseriusan kecederaannya boleh sembuh, jadi saya rasa lega,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sivasangari.

Terdahulu, akhbar New Straits Times melaporkan, pemain nombor 19 dunia itu cedera di kepala dalam kemalangan di Lebuhraya Maju, semalam.

Sivasangari berada di tempat duduk penumpang ketika kereta yang dinaikinya terbabit dalam pertembungan dengan sebuah lori yang sedang berhenti di tepi lebuh raya.

Sivasangari sempat dikeluarkan dari kereta sebelum ia terbakar dan beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menjalani pembedahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here