SPRM siasat penerima wang UKSB

0
13
SPRM

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan telah menerima wang seperti disebut oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, pihaknya juga mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

“Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perbicaraan kes itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here