Suami isteri terbunuh motosikal dirempuh pemandu mabuk di Merlimau

0
48
PDRM

MERLIMAU – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Jalan Serkam Pantai, di sini hari ini.

Mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal Yamaha Ego disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 7.45 pagi yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan tiga motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan [email protected] Zaki Omar berkata, kejadian itu turut mengakibatkan pemandu dipercayai mabuk dan seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan.

  “Kejadian ini melibatkan sebuah kereta yang dipercayai dipandu dibawah pengaruh alkohol serta tiga buah motosikal masing-masing ditunggang pasangan suami isteri yang maut, seorang lelaki berusia 57 tahun dan seorang wanita berusia 55 tahun.

“Kereta jenis Myvi itu dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan yang mana insiden itu menyebabkan dua buah motosikal termasuk motosikal ditunggang pasangan suami isteri yang berada di laluan itu gagal mengelak dan membrek sebelum merempuh kereta terbabit.

“Motosikal Yamaha Lagenda yang terlibat turut terbakar sebelum pemandu dipercayai mabuk itu melanggar sebuah motosikal lain yang diletakkan di bahu jalan sebuah rumah berhampiran,” katanya lapor Astro Awani. 

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Myvi yang juga operator kilang terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala penunggang motosikal berusia 57 tahun cedera di bahagian badan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat selain mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here