
PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak berpaket dengan melibatkan jumlah sebanyak RM4 bilion.
Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak, dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.
“Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.
“Subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kilogram (kg) sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah
bermula sejak Jun 2007
“Sehingga kini masih dilaksana oleh kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Bagaimanapun, katanya, program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi satu kg, dua kg, tiga kg dan lima kg yang diperkenalkan pada Ogos 2021 dimansuhkan.
Beliau berkata, ini kerana program itu diperkenalkan bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan.
“Walaubagaimanapun, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak
diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan. Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai ini untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.
Semalam, Menteri Perdagangan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak dalam kemasan botol dua kg hingga lima kg berkuat kuasa 1 Julai nanti.
Kenyataan itu telah menycetuskan panik dalam kalangan masyarakat yang beranggapan tiada lagi subsidi untuk minyak sawit.