Sumbangan SSBJ kepada arena sukan negara amat besar – Dr. Mohd. Radzi

0
6

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mengutamakan prasarana sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berada di tahap terbaik demi kesejahteraan pendidikan warga sekolah berkenaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Mat Jidin berkata, sumbangan SSBJ kepada arena sukan negara adalah amat besar kerana berjaya melahirkan atlet kebangsaan dalam pelbagai jenis sukan berkualiti tinggi.

“Bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti di SSBJ, KPM telah memperuntukkan sejumlah RM25.9 juta di bawah RMK12, Rolling Plan 2 Tahun 2022 bagi tujuan pembinaan gelanggang serbaguna terbuka, trek sintetik dan kerja-kerja naik taraf kemudahan sekolah.

“Ini pastinya dapat meningkatkan lagi semangat atlet murid untuk terus berlatih,” kata Mohd Radzi dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut berkongsikan beberapa gambar ketika beliau melakukan tinjauan ke sekolah tersebut, pagi tadi.

“Ketika di sana sempat berjumpa jurulatih, guru serta melihat anak-anak bakal jaguh sukan ini mengikuti pembelajaran masing-masing di dalam kelas.

“Apa yang pasti, anak-anak yang dianugerahkan dengan bakat sukan ini ternyata kental dan berjiwa besar dalam mengimbangi bidang akademik dan bukan akademik,” katanya lagi.

Beliau turut berpesan supaya para guru meneruskan usaha murni mereka menggilap bakat anak-anak tersebut, supaya mereka dapat meningkatkan potensi diri ke tahap paling tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here