Tajuddin dedah gerakan mahu Ahmad Zahid lepas jawatan Presiden UMNO

0
47
Tajuddin Abdul Rahman

CYBERJAYA – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan sebanyak 130 daripada Ketua Bahagian bersetuju menyokong gerakan menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO.

Persetujuan itu menurutnya dicapai dalam satu memorandum yang diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah diadakan di kediamannya pada Mac 2020 yang turut dihadiri pemimpin tertinggi parti itu antaranya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden, Datuk Khalid Nordin.

Bagaimanapun katanya, gerakan untuk meminta Ahmad Zahid mengundur diri secara baik itu tidak menjadi kenyataan apabila Mohamad Hasan dan Najib Razak ‘belot’.

“Kita ada buat memorandum minta (Ahmad Zahid) turun dengan baik demi UMNO. Pertemuan itu dibuat Mac tahun 2020.

“Bukan nak tendang dia (Ahmad Zahid). Ketuanya Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hasan), Bossku (Datuk Seri Najib Razak) suruh kumpulkan buat tinjauan berapa Ketua Bahagian yang setuju, 130 orang setuju (Ketua Bahagian), Perak (18), Selangor (17),” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, gerakan itu menemui jalan buntu selepas Najib dan Mohamad Hasan digertak oleh ‘orang’ Zahid.

“Kenapa tak jadi? Sebab Tok Mad sebagai Ketua dengan Bossku belot. Tak jadi. Tok Mat disergah dengan budak Zahid, setiausaha politik dia.

“Eloklah, Tok Mad, tak boleh pakai. Dia guna bahasa Negeri Sembilan dia. Sedap dengar je lah. Bossku pula saya diminta tinjau Ketua Bahagian.

“Kita buat keputusan Bossku panggil orang dia sokong gerakan itu. Kemudian dia panggil ke rumah dia, minum, seorang berucap. Lain pula jadinya sebab bukan nak minta Zahid turun tapi minta Bossku jadi pengerusi BN.

“Saya kata kepada Bossku, ini sudah cerita lain nanti orang marah. Dia (Najib) pula yang seronok orang nak naikkan dia. Ingat Zahid nak bagi ke? Mampus Zahid tak bagi. Eloklah dia mainkan Zahid, Zahid mainkan dia,” katanya lagi.

Tajuddin berkata, pertemuan pada tiga tahun lalu itu membuktikan kelemahan Ahmad Zahid sebagai Presiden yang mana boleh meletakkan UMNO dalam keadaan bahaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here