Tambang percuma selama sebulan bagi pengangkutan awam 

0
24
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bermula hari ini bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Lembah Klang.

Beliau berkata, tambang percuma itu merangkumi perkhidmatan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel, bas RapidKL serta komuter di Lembah Klang yang dikendalikan oleh KTM.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat dan pemberian perkhidmatan percuma itu diharap dapat meringankan beban kos sara rakyat.

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri berucap merasmikan Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kg Batu, di sini hari ini.

Yang hadir dalam majlis perasmian ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim.

Dalam pada itu, mengulas lanjut kos yang ditanggung kerajaan bagi inisiatif tambang percuma ini, beliau berkata nilai subisidi yang diberikan oleh kerajaan adalah sebanyak RM155 juta.

“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here