
CYBERJAYA – Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung selain tidak mengapungkan harga ayam di pasaran.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan dibuat itu membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup.
“Shubungan itu, kadar elektrik dan air kekal seperti sekarang. Dengan keputusan ini, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.
“Ini bermakna pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung.
“Pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj dikekalkan kepada pengguna bukan domestik iaitu pengguna komersil dan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai harga ayam, katanya, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan.