Tiada campur tangan menteri dalam pemilihan Sasterawan Negara – Radzi Jidin

0
10
Radzi ketika mempengerusikan mesyuarat Panel Anugerah Sastera Negara bagi memuktamadkan penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15. FOTO: Facebook Dr Radzi Jidin.

CYBERJAYA – Pemilihan Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair), Datuk Rahman Shaari sebagai Sasterawan Negara tidak melibatkan campur tangan kuasa Menteri.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pemilihan itu sebaliknya diputuskan oleh panel-panel pakar yang mengambil kira bentuk karya daripada 12 sasterawan yang disenarai pendek kementeriannya.

“Tidak timbul sebarang campur tangan tengok semua panel berada di sini semua gembira dengan keputusan dibuat.

“Saya secara peribadi setuju dengan keputusan yang dibuat panel kerana mereka (panel) melihat serta mengkaji pelbagai bentuk karya yang telah dikeluarkan oleh calon-calon yang telah disenarai pendek,ā€¯katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Malaysia Gazette melaporkan, penobatan anugerah Sasterawan Negara Ke-14 pada April 2019 dikaitkan dengan campur tangan politik apabila dua panel baharu dibawa masuk ke mesyuarat akhir pemilihan Anugerah Sastera Negara.

Laporan yang memetik sumber berkata, penyertaan mengejut dalam mesyuarat akhir itu sekali gus menunjukkan wujudnya kecenderungan memilih calon Sasterawan Negara yang tiada dalam senarai pencalonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, majlis pengurniaan anugerah tersebut akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here