Tiada lagi subsidi, penternak ayam harap kerajaan mansuh harga siling 

0
57
Gambar hiasan

IPOH – Persatuan Penternak Manjung meminta agar harga ayam ditentukan oleh pasaran semasa bukan dengan harga siling yang ditetapkan kerajaan supaya penternak dan peniaga tidak terbeban.

Menurut pengerusinya, Tan Wooi Perng, kerajaan tidak perlu menetapkan harga maksimum ayam selepas tiada lagi subsidi bermula 1 Julai depan.

“Penetapan harga siling ayam di pasaran akan merugikan penternak yang terpaksa berdepan dengan kenaikan kos makanan ternakan itu.

“Harga dedak ayam untuk bulan ini pun naik lagi, jika tiada subsidi ayam, memang kita akan susah dan terpaksa tanggung rugi bagi memastikan harga kekal seperti sedia ada. Jadi kita masih berharap kerajaan tidak tetapkan harga maksimum ayam selepas 1 Julai nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Dalam pada itu, Wooi Perng turut meminta kerajaan mempermudahkan urusan tuntutan bayaran subsidi yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Hanya lebih 10 peratus ahli persatuan menerima bayaran subsidi ayam berkenaan dan saya berharap dapat dipercepatkan proses tersebut selepas semua dokumen yang diperlukan diserahkan bagi tujuan itu,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak bermula 1 Julai ini disebabkan ramai penternak tidak menuntut bayaran berkenaan dan pelbagai isu dibangkitkan.

Susulan itu, kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada rakyat terutama golongan B40.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here