Tiada sambutan, bayaran subsidi kepada penternak ayam dihentikan mulai 1 Julai

0
53
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan lagi memberikan subsidi kepada penternak ayam bermula 1 Julai ini selepas ramai dalam kalangan mereka tidak menuntut bayaran itu.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberikan terus bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

“Di Malaysia harga apapun boleh naik, tetapi jangan harga ayam. Kalau dibiarkan harga diapung, harga ayam ketika ini boleh mencecah RM12 sekilogram, tetapi dalam usaha untuk pastikan rakyat tidak terbeban, kerajaan beri subsidi kepada penternak untuk kekal harga sebanyak RM8.90.

“Untuk ini kerajaan berbelanja sebanyak RM720 juta. Bagaimanapun ramai penternak tidak menuntut bayaran subisidi ini.

“Sebaliknya pelbagai isu dibangkitkan, oleh itu mulai 1 Julai nanti kita tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak, tetapi kita akan berikan terus kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Konvensyen Barisan Nasional hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, langkah itu diambil untuk memastikan bebanan kenaikan harga tidak terlalu dirasai kerana ada sumbangan tunai oleh kerajaan.

Susulan itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pertanian akan mengumumkan mekanismenya nanti.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga menggalakkan industri agro makanan dipergiat lagi supaya sumber untuk makanan ayam dan sebagainya mudah diperoleh.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menubuhkan Tabung Agro makanan berjumlah RM500 juta dengan pemberian soft loan kepada pemain-pemain industri agromakanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here