Tiga syarikat telekomunikasi terima notis SKMM kerana perkhidmatan tidak menepati piawai jalur lebar

0
55

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengeluarkan notis kepada tiga syarikat telekomunikasi tempatan kerana gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan termasuk di pusat pelancongan Langkawi.

Penyedia perkhidmatan jalur lebar yang dikenakan ‘Arahan Suruhanjaya’ pada 19 Mei itu adalah Celcom Axiata Bhd. (Celcom), Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) dan U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile).

“Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei 2022 menuntut ketiga-tiga syarikat itu membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

“Kegagalan syarikat telekomunikasi memenuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 mengikut Seksyen 109, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Notis berkenaan dikeluarkan susulan arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa supaya membuat pemetaan dan audit kualiti perkhidmatan capaian internet di seluruh negara.

“SKMM telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di bawah MSQoS di 3,038 lokasi di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

“Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari 2022 hingga 15 Jun 2022.

“Tiga maklum balas notis telah dinilai dan SKMM telah mengeluarkan Arahan Suruhanjaya terhadap tiga syarikat telekomunikasi itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here