Tok Pa nafi seleweng dana UMNO Kelantan

0
15
Datuk Seri Mustapa Mohamed

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan telah menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada UMNO Kelantan seperti yang didakwa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes perbicaraan mahkamahnya baru-baru ini.

Beliau yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya yang diuruskan oleh jawatankuasa berkenaan di peringkat badan perhubungan.

“Saya juga menafikan bahawa penyertaan saya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

“Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali, iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, beliau diminya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline dan memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB.

“Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini. Pihak SPRM telah menafikan perkara ini pada 20 September 2018 manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019.

“Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.

“Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai PPBM dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bagi PRU-14. Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here