Tan Sri Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2018.

Memetik laporan Bernama, bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar syarikat tersebut dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

Ketika ditanya Ahmad Zaidi, siapakah ‘TSM’ yang tercatat di dalam lejar tersebut, saksi itu menjawab, “Tan Sri Muhyiddin”.

Saksi ke-17 itu kemudian memberitahu mahkamah bahawa dana itu dibayar secara tunai kepada Muhyiddin pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

“Pada 4 Jun 2018 sebanyak RM300,000; 4 Julai 2018 sebanyak RM500,000 dan 23 Ogos 2018 RM500,000,” katanya.

Tan turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa pada 2018, Muhyiddin ialah Menteri Dalam Negeri selepas Ahmad Zahid selain mengesahkan projek UKSB (VLN) masih di bawah KDN.

Ahmad Zaidi: Mengenai TSM, pembayaran dibuat berhubung VLN, untuk kerajaan pada masa itu?

Tan: Ya, kerajaan pada masa itu.

Selain Muhyiddin antara ahli politik lain yang disebut-sebut sepanjang prosiding hari ini ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB dan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi Suruhanjaya Pencegarah Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi itu turut mengesahkan berdasarkan catatan lejar itu, UKSB memberi Khairy dana keseluruhan sebanyak RM3.7 juta manakala Reezal Merican, berdasarkan laporan forensik SPRM, antara RM200,000 dan RM300,000.

Ditanya Ahmad Zaidi lagi, sama ada Reezal Merican ialah Timbalan Menteri Luar pada masa itu, saksi itu menjawab, “Saya tidak pasti”.

Tan juga bersetuju dengan peguam itu bahawa ‘MOR’ dan ‘FM’ di dalam lejar tersebut merujuk kepada ‘Minister Of Rural’ (Menteri Luar bandar) iaitu Mohd Shafie dan ‘Foreign Minister’ (Menteri Luar) iaitu Anifah.

Ahmad Zaidi: Sebahagian besar pembayaran itu adalah sumbangan politik? 

Tan: Ya betul.

Ahmad Zaidi: Sudah tentu, kepada Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) itu sumbangan politik?

Tan: Ya betul.

Sementara itu, saksi tersebut tidak bersetuju dengan cadangan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang turut mewakili Ahmad Zahid bahawa beliau bersama dua pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani bersubahat melakukan jenayah, pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat yang sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 25 Julai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here