UMNO jangan ‘over-confident’ dalam PRU, Ahmad Zahid perlu berundur – Tajuddin

0
27
tajudin
Tajuddin Abdul Rahman

PETALING JAYA – UMNO tidak boleh menjadikan kemenangan pilihan raya kecil (PRK) di Melaka dan Johor sebagai petunjuk untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO tidak boleh tergesa-gesa mengadakan PRU berdasarkan sokongan pada PRK di dua negeri itu kerana situasinya tidak sama (PRU).

“Jangan nak ambil Johor dan Melaka sebagai rujukan untuk menang. Dulu masa PRK Kuala Kangsar, PRK Sungai Besar, UMNO menang besar dalam PRK, tapi bila diadakan PRU, lingkup dua-duanya.

“PRK dan PRU tak sama, saya tahu sebab saya pernah jadi Pengarah Pilihan Raya tempat saya,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan segelintir pemimpin tertinggi UMNO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU dijalankan.

Terdahulu pada sidang media itu, beliau mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO dan memberi laluan kepada pemimpin lain.

Beliau juga mencadangkan jawatan Perdana Menteri disandang oleh pemimpin yang dipilih menjadi Presiden UMNO supaya tidak berlaku pertelingkahan antara parti dengan kerajaan.

“Biarlah Presiden yang jadi Perdana Menteri. Kena orang yang sama. Tak boleh ada dua nakhoda dalam kerajaan dan parti.

“Kalau tidak jadi macam sekarang, mereka gunakan kedudukan dalam parti untuk menekan Ismail Sabri. Tidak hormat kepada Perdana Menteri.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, sudah tiba masanya Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden UMNO secara terhormat kerana ‘beban’ kes-kes mahkamah yang dihadapinya.

“Zahid adalah liabiliti kepada UMNO. Dia tak boleh jadi Presiden kerana ada banyak kes untuk dia hadap. Macamana nak fokus jadi pemimpin.

“Kalau sayangkan parti, sayangkan perjuangan melepaskan jawatan Presiden UMNO,” katanya.

Katanya, peralihan tampuk kuasa itu perlu dilaksanakan demi kelangsungan parti terbesar orang Melayu untuk menubuhkan kerajaan.

“Asalkan UMNO itu dapat menang, dapat tubuhkan kerajaan dan kuasa orang Melayu dapat ditegakkan. Itu sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here