Wanita ditimpa buah kelapa alami kecederaan serius, dirawat di HPP

0
35
Tangkap layar sebuah video yang menunjukkan seorang pembonceng motosikal ditimpa buah kelapa

BAYAN LEPAS – Pembonceng wanita yang cedera selepas ditimpa buah kelapa di Jalan Teluk Kumbar di sini, petang semalam masih menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, beliau sudah menghubungi anak kepada mangsa yang berusia 50-an itu yang memaklumkan ibunya mengalami beberapa kecederaan akibat insiden itu.

“Mangsa dikenali sebagai Puan Anita sedang dirawat di HPP dan saya ada menghubungi anaknya bertanya khabar mengenai perkembangan mangsa. Perkara ini memang tidak diduga dan kita amat bersimpati.

“Jadi untuk mengelakkan kejadian sebegini berulang, kita akan jalankan kerja menebang 11 pokok kelapa bermula 2 petang ini di samping meneliti pokok berisiko lain di sepanjang jalan,” katanya ketika memetik laporan Berita Harian hari ini.

Azrul yang meninjau lokasi kejadian bersama pegawai landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, operasi penebangan pokok akan dilakukan menggunakan jentera angkat atau skylift yang dijangka selesai sebelum 5 petang hari ini.

Terdahulu anak kepada mangsa dikenali sebagai Yaya Ghani menerusi hantaran di Facebook menyatakan keadaan ibunya agak parah selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang adiknya.

“Ya, (wanita) yang berlari ke arah mangsa ialah adik perempuan saya. Alhamdulillah mama sedar dan masih berada di HPP.

“Keadaan mama agak parah dan mengalami kecederaan patah tulang bahu kanan, patah tangan kiri selain mengalami kecederaan tulang rusuk.

“Keadaan adik perempuan baik saja cuma masih trauma. Saya mohon semua agar semua doakan kesembuhan mama saya,” tulisnya.

Peniaga durian yang juga saksi kejadian, Md Ghazali Shahari, 62, berkata, ketika kejadian 3.30 petang itu, dia sedang melayan pelanggan di gerainya sebelum terdengar jeritan kuat.

Menurutnya, dia melihat mangsa dan topi keledar yang dipakainya jatuh tergolek di jalan raya.

“Jalan agak sibuk ketika itu dan saya dibantu beberapa orang lagi segera menahan kenderaan yang lalu-lalang.

“Selepas itu saya terus menghubungi ambulans dan meminta supaya mangsa tidak dialihkan sebelum petugas kesihatan tiba kerana kita tidak bahagian badan mana yang mengalami kecederaan,” katanya.

Pesara kerajaan itu berkata, kejadian buah kelapa luruh di jalan sudah banyak kali berlaku namun ini kali pertama membabitkan kemalangan sehingga mengancam nyawa.

“Selalunya ia jatuh di tempat yang tiada orang dan pernah juga menimpa kenderaan dan bumbung gerai saya. Tetapi tiada kerosakan yang teruk dan sudah ada sebatang pokok kelapa berdekatan gerai ditebang sebelum ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here